Anak ayah
Saya anak ayah (arwah). Ya, saya lebih mirip pada sikap arwah ayah, berbanding sikap ibu.
Saya tak luahkan pada sesiapa, tapi kepada anda semua di blog ini, pada saat ini. Mungkin kerana saya masih dihambat rajuk kepada ibu saya sejak kelmaren.
Kali terakhir saya bercerita mengenai arwah ayah saya di dalam blog ini, ialah pada 26 May 2009, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya, iaitu pada setiap 27 May (1946). Entri berkenaan bertajuk ‘Singgah dan pulang’, dan saya mengabadikan sebahagian kisahnya iaitu pada tahun kedua ayah meninggalkan kami.
Kini hampir genap 5 tahun ayah pergi. Ayah meninggal pada usia 63 tahun pada 24-03-2007, satu tarikh yang akan kekal di benak saya, insya Allah.. Mudah diingat, bukan?
Saya masih ingat, ketika menduduki kertas peperiksaan SPM pada tahun 2000, untuk subjek English, saya telah memilih untuk menjawab soalan karangan bertajuk ‘My Hero’. Siapa agaknya hero di dalam karangan saya itu? Walaupun kisah di dalam karangan itu cuma rekaan, namun tiada insan lain yang terfikir di dalam benak saya di waktu genting itu, selain ayah, sebagai hero saya. Hasilnya, saya dapat B3 untuk subjek English. (Ya, saya agak lemah English, hehe..)
Tanpa ayah, siapalah saya. Saya mengenal Allah, mengenal Rasulullah SAW, dan figures lain di dalam agama, daripada didikannya. Ayah tidak sayangkan duit di dalam bab pendidikan anak-anaknya. Sejak saya kecil, saya ‘dilambakkan’ dengan pelbagai buku-buku agama. Ayah mungkin tidak pandai mengajar, atau bercerita, tapi ayah belikan kami buku-buku koleksi kisah-kisah daripada alQuran dan hadis. Dan lain-lain buku agama. Biasanya kalau di sekolah, saya lebih advance daripada kawan-kawan lain di dalam subjek agama.
Semasa saya menginjak ke alam universiti, ayah mengajar saya fasa seterusnya, iaitu supaya mengamalkan zikrullah. Ya, ayah lah orang yang mengajar saya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mungkin telah diamatinya saya selama saya belajar persekolahan menengah di rumah, saya yang lagha, saya yang begitu dan begini. Sebelum saya ‘hilang’ daripada pengawasannya, merantau ke negeri orang, dibekalkan saya dengan pesanan itu, dengan harapan akar tauhid anaknya ini akan terus mencengkam ke dasar hati, memandu diri.
Tidak lupa, ayah mengenalkan indeks al-Quran, dan kitab-kitab hadis sebagai pedoman. Ayah berpesan, agama itu tegaknya dengan 3 perkara, iaitu tauhid, akhlaq dan syariat. Semuanya perlu dicari ilmunya, dan diamalkan. Di dalam bab siasah, walaupun ayah melihat kecenderungan siasah anaknya ini berbeza dengan pendiriannya, namun ayah tidak menghalang, cuma diberikannya sebab-sebab kenapa dia memilih siasah yang berbeza. Mungkin kerana itulah, pendirian siasah saya agak moderate.
Saya mempunyai banyak persamaan sikap dengan ayah. Jika ayah dikatakan panas baran, saya juga begitu. Jika ayah dikatakan degil, berpendirian tegas, saya juga begitu. Tarikh lahir ayah 27-05-1946. Manakala saya 25-07-1983. Perasan apa persamaan atau gandanya? Mungkin anda beranggapan ia hanya kebetolan, namun bagi saya, itu semua unik, Allah tidak pernah jadikan sesuatu sebagai kebetulan.
Oleh itu…ya.. saya anak ayah, kerana sikap saya mirip sikap ayah.
Walaupun ayah telah menetap di alam barzakh, ketika saya masih terkapai-kapai meneruskan perjuangan berbaki di dunia ini, kadangkala ayah singgah juga bertemu di dalam mimpi saya. Beberapa kali sebelum ini, jika kami ‘bertemu di alam mimpi’, dia akan menegur satu jenis kelemahan saya ini, yang memang saya akui even sejak ayah masih hidup. Alhamdulillah, saya dah buang jauh-jauh kelemahan tu sekarang. Tapi, yang terbaru, ayah datang lagi dalam mimpi saya, dan sebut kelemahan saya yang baru pula. Dan itu juga saya akui benarnya. Mudah2an saya diberikan kekuatan untuk mengatasinya.
Panjang pula entri ini tertulis. Tidak sedar sudah lama menulisnya.. Rajuk saya pada emak juga sudah semakin reda. Oleh itu, sekarang, saya katakan saya anak ibu dan ayah pula jadinya. Hehe..
Saya perlu taat ibu 3x lebih daripada saya wajib taat pada arwah ayah. Arwah ayah dah takde, cuma tinggal ibu. Saya faham, tiada gunanya merajuk berpanjangan pada ibu untuk peristiwa kelmarin.
Finally, terima kasih membaca kisah ayah saya pada kali ini. Saya anak ibu, saya anak ayah. Pulak.. Hehe..
- Posted in: Uncategorized

GBS Tudung
Kedai Jue
Smart & Syarie
Hana Homestay
Blogawan Terengganu
Komen terkini